
Tak dapat nak bayangkan dan luahkan.. betapa luluh dan hancur nya perasaan Teh Afifah bila dgr brita pemergian suami tercinta selepas 4 jam dinikahi.
ajal maut di tangan Allah s.w.t. aku sedih sangat baca tragedi yang menimpa. berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
semoga Allah memberikan kekuatan untuk Teh Afifah menjalani kehidupan yang sungguh mencabar ini.
Pengantin sempat kirim SMS terakhir
PADANG BESAR 12 Dis. - "Jangan t
erkejut tengok pakaian abang esok."
Gurauan itu dihantar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh Mohd. Ariff Abd. Kadir, 23, buat isterinya, Teh Afifah Syahirah Abdul Hamid, 23, selepas mereka diijab kabul semalam.
Namun siapa pun tidak menyangka gurauan itu membawa makna serta kesan berpanjangan buat Teh Afifah.
Mohd. Ariff mengirimkan SMS tersebut sebelum pulang dari rumah isterinya selepas majlis akad nikah di Masjid Intan Safinaz, Anak Bukit di Alor Setar, Kedah, kira-kira pukul 10.45 pagi.
Perkara itu dinyatakan oleh abang Allahyarham Mohd. Ariff, Dr. Mohd. Hafiz, 26, ketika ditemui di rumah bapanya di Taman Melati Indah di sini hari ini.
"SMS tersebut dihantar selepas majlis akad nikah, iaitu sebelum kami balik ke Perlis. Dia menghantar SMS itu untuk memaklumkan bahawa pakaian yang akan dipakai ke majlis persandingan hari ini cantik dan tidak diketahui oleh Teh Afifah Syahirah.
"Namun lain pula yang berlaku dan kami menerima ketentuan Allah itu dengan reda," ujarnya.
Beliau juga menyatakan, kenduri kahwin yang dijadualkan di rumah mereka esok untuk kira-kira 1,500 jemputan juga telah ditukar kepada majlis tahlil.
"Esok kami hanya akan buat tahlil. Tetamu yang dijemput tentunya sedia maklum berhubung kemalangan seperti yang disiarkan oleh akhbar hari ini," ujarnya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang semalam, pengantin yang baru bergelar suami kira-kira tiga jam itu, maut bersama bapanya, Ab. Kadir Awang, 55, dan ibunya, Apsah Othman, 59, serta jurugambar pengantin, Mohd. Farhan Musa, 18.
Kejadian berlaku di Kilometer 7, Jalan Kangar-Padang Besar di sini, selepas kereta Proton Iswara Aeroback yang dipandu Ab. Kadir dari arah Kangar itu bertembung dengan bas pelancong.
Tragedi itu berlaku selepas keretanya terbabas akibat tayar meletup hingga memasuki laluan bertentangan.
Kereta tersebut yang dalam perjalanan menuju ke rumah mereka di Taman Melati Indah di sini, remuk hingga terperosok ke bawah bahagian hadapan bas.
Menurut Dr. Mohd. Hafiz, pasangan itu sepatutnya bersanding di rumah Teh Afifah Syahirah di Taman Berlian, Alor Setar hari ini, manakala kenduri menyambut menantu sebelah pengantin lelaki pula esok.
Teh Afifah Syahirah penuntut tahun akhir pengajian kejuruteraan kimia di Auckland, New Zealand pulang ke tanah air untuk melangsungkan perkahwinan.
Mohd. Ariff pula yang baru menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan mekanikal di United Kingdom tahun ini akan melaporkan diri sebagai pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau di sini pada 16 Disember ini.
Jenazah tiga beranak itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Darat, manakala Mohd. Farhan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung, Beseri, di sini malam tadi.


No comments:
Post a Comment